Sunday, May 9, 2010

ISU PEMANASAN GLOBAL – APAKAH PUNCA DAN KESANNYA?

Oleh: Mohd Khamsuldin Abdul Wahab

4 JUN (SMKPS) – Pemanasan global ialah keadaan alam sekitar yang mengalami peningkatan suhu yang tinggi berbanding dengan suhu normal. Hal ini menyebabkan kita terasa panas walau pun pada waktu malam.

Keadaan ini berlaku disebabkan oleh aktiviti yang dilakukan oleh manusia seperti penebangan hutan, aktiviti perindustrian, pembakaran terbuka, pelepasan asap kenderaan, penerokaan hutan untuk aktiviti pembangunan dan lain-lain.

Kesilapan manusia terhadap alam sekitar menyebabkan banyak kesan negatif yang telah berlaku. Antara yang paling ketara ialah tahap pencairan salji di Kutub Utara semakin tinggi, paras air laut meningkat dan keluasan saiz daratan semakin mengecil. Selain itu, berlakunya kejadian bencana alam seperti kemarau, banjir dan kebakaran manakala kesan kemanusiaan termasuklah kehilangan nyawa dan kecederaan.

Ahli-ahli sains dan geografi sependapat mengatakan punca utama pemanasan global ialah penipisan lapisan ozon akibat pelepasan gas khususnya klorofluorokarbon (CFC).

Sebenarnya, isu peningkatan suhu atau pemanasan terjadi disebabkan pelbagai faktor. Selain daripada penipisan ozon, kejadian kemarau dan jerebu, kejadian pulau haba, hujan asid dan kesan rumah hijau juga memberi galakan kepada isu pemanasan global.

Mari kita mengenal bagaimana setiap proses ini berlaku sehingga menyebabkan berlakunya pemanasan global ini.

Jerebu boleh mengurangkan jarak penglihatan

Jerebu boleh mengurangkan jarak penglihatan

1) JEREBU

Jerebu berlaku disebabkan terdapat banyak debu, asap, habuk dan bahan-bahan pencemar lain yang terapung-apung di udara akibat aktiviti manusia dan secara semulajadi. Fenomena jerebu ini boleh mengurangkan jarak penglihatan. Selain itu, jerebu juga boleh menjejaskan kesihatan manusia, misalnya kesukaran untuk bernafas.

penipisan lapisan ozon membawa kebimbangan kepada dunia

Penipisan lapisan ozon membawa kebimbangan kepada dunia

2) PENIPISAN LAPISAN OZON

Klorofluorokarbon (CFC) merupakan penyumbang utama kepada penipisan lapisan ozon. Gas CFC terkandung dalam alat-alat seperti penyaman udara, aerosol dan peti sejuk. Semasa CFC dibebaskan di atmosfera, klorin akan bertindak dengan ozon dan membebaskan oksigen. Akibatnya, lapisan ozon semakin nipis.Penipisan lapisan ini akan menyebabkan sinaran ultraungu sampai terus ke permukaan bumi dan boleh memberi kesan negatif kepada manusia seperti penyakit kanser kulit dan katarak mata.

Suhu bumi akan meningkat

Suhu bumi akan meningkat

3) KESAN RUMAH HIJAU

Kesan rumah hijau adalah fenomena pemanasan bumi akibat banyak haba terperangkap dalam lapisan atmosfera dan menghalang pembalikan semula bahang dari bumi ke atmosfera. Haba dipantulkan semula ke bumi, atmosfera menyimpan lebih banyak haba dan bumi menjadi semakin panas. Kesan rumah hijau terjadi kerana berlakunya peningkatan pelepasan gas seperti karbon dioksida, nitrogen monoksida dan metana ke atmosfera.

Kawasan bandar menjadi panas berbanding sekitarnya.

Kawasan bandar menjadi panas berbanding sekitarnya.

4) PULAU HABA BANDAR

Pulau haba bandar merupakan fenomena atmosfera yang berkaitan dengan peningkatan suhu yang tinggi di dalam kawasan bandar berbanding kawasan sekitarnya. Ia berlaku apabila pelepasan haba di kawasan membangun khususnya di bandar-bandar terlalu banyak dan tersekat oleh bangunan-bangunan tinggi pencakar langit. Haba yang tidak dapat dilepaskan ke atmosfera itu akan membahangi kawasan sekitar. Akibatnya kita boleh mendapat sakit kepala.

Hujan asid merbahaya kepada kesihatan manusia.

Hujan asid merbahaya kepada kesihatan manusia.

5) HUJAN ASID

Di kawasan perindustrian seperti Petaling Jaya, kilang membebaskan asap yang mengandungi gas sulfur dioksida dan nitrogen oksida. Tindak balas gas ini dengan wap air dalam udara membentuk asid nitrik dan asid sulfurik lemah. Apabila hujan, ia dikenali sebagai hujan asid. Hujan asid boleh memusnahkan tumbuh tumbuhan, merosakkan binaan, mencemarkan air dan mengancam hidupan air. Kesihatan manusia terjejas akibat kesan secara langsung hujan asid.

Kemarau menyebabkan tanah menjadi tandus dan gersang

Kemarau menyebabkan tanah menjadi tandus dan gersang

6) KEMARAU

Kegiatan manusia menebang hutan secara berleluasa akan mengurangkan kawasan tumbuh-tumbuhan. Kesannya, semakin kurang kelembapan dilepaskan oleh tumbuh-tumbuhan ke udara. Udara yang kurang lembap tidak akan membawa hujan dan kemarau pun berlaku.

Apabila berlakunya faktor-faktor di atas secara tidak langsung telah menyebabkan berlakunya peningkatan suhu kepada bumi. Cuba lihat graf di bawah ini yang menunjukkan suhu bumi yang semakin meingkat dengan cepat dari tahun ke tahun.

Trend kenaikan suhu membimbangkan kita terhadap isu pemanasan global

Trend kenaikan suhu membimbangkan kita terhadap isu pemanasan global

Kesan dan bahang pemanasan global juga telah mengganggu sistem cuaca dan iklim di negara kita secara tidak langsung. Iklim Khatulistiwa dengan panas dan lembap sepanjang tahun telah tidak berada pada paras yang normal lagi akibat berlakunya peningkatan suhu ini.

Marilah kita sama-sama menginsafi diri kerana hanya bumi ini sajalah tempat tinggal kita. Tiada lagi planet lain yang boleh kita jadikan ganti selain bumi.. Hargailah pemberian Allah yang paling bermakna ini. Janganlah kita cemarinya lagi. Jangan sampai anak cucu kita menyalahkan kita disebabkan kesilapan dan kesalahan yang telah kita lakukan sebelum ini.

Mudah-mudahan selepas membaca artikel ini akan dapat menyedarkan kita betapa pentingnya bumi ini kepada manusia dan makhluk Allah yang lain….

Pelepasan karbon dioksida

Pelepasan karbon dioksida


Impak pelepasan karbon dioksida tidak difahami ramai kerana gas tersebut tidak berbau dan bukan toksik.Konsentrasi karbon dioksida di atmosfera telah meningkat daripada kira-kira 280 bahagian sejuta (ppm) dicatat di kurun ke-18 (sebelum era revolusi perindustrian) kepada 379 ppm pada tahun 2005.

Menjelang 2099 kadarnya meningkat kepada 700 ppm jika cara hidup sekarang berterusan. Secara bandingan , planet lain seperti Marikh, suhunya kira-kira 400 darjah celcius dan 90 peratus daripada atmosferanya adalah karbon dioksida. Hampir tiada kehidupan di Marikh dan bumi akan menjadi seperti itu.

IPCC mendesak seluruh kerajaan dan penduduk dunia menstabilkan tahap karbon dioksida di atmosfera kepada paras yang boleh diuruskan iaitu 450 ppm. Bagi menghapuskan kepekatan karbon dioksida di dalam atmosfera, ia mengambil masa antara 200 atau 300 tahun . Walau apapun tindakan pemulihan dilakukan , untuk kembali pulih amat sedikit.

Mulai abad ke-18 majoriti warga dunia menggunakan bahan bakar fosil daripada sumber asas air atau kayu . Dunia ada banyak alternatif tetapi kita tidak menggunakannya secara bijak , berkesan dan menyeluruh. Kita terlalu bergantung kepada bahan bakar fosil. Negara membangun seperti India dan China tidak setuju dengan pengurangan pengggunaan bahan bakar fosil. 2 bilion penduduk di India dan China menggunakan bahan bakar fosil secara keterlaluan.
Kesan pemanasan global di Malaysia

Sumber ekosistem yang ada telah digunakan ke paras maksimum dengan penangkapan ikan berlebihan dan pemupusan kawasan besar hutan. Enam bilion penduduk dunia kini menggunakan sumber asli bumi secara berlebihan dan tidak terkawal . Jika pemanasan global berterusan , manusia dan tamdunnya akan pupus sebagaimana pupusnya dinosaur.

Ramalan saintis menunjukkan peningkatan 7.0 meter paras laut, kawasan rendah seperti Kuala Muda (Kedah) dan Kelantan akan ditenggelami air. Keadaan monsun akan bertukar sama sekali kerana kita akan menerima lebih banyak hujan sewaktu monsun timur laut, yang bermakna lebih banyak kejadian banjir.

Kesedaran rakyat Malaysia dan amnya masyarakat dunia sukar ditingkatkan. Hanya 3 /10 rakyat Malaysia yang prihatin kepada isu-isu alam sekitar. Kejadian gempa bumi 26 Disember 2004 dan banjir besar di Johor adalah pengajaran terbaik. Mendidik bukanlah untuk membuat mereka cemas tetapi meminta mereka bertindak secara betul dan tepat.
Tenaga alternatif

Tenaga alternatif seperti tenaga nuklear dan suria sebagai alternatif yang berdaya maju. Malaysia perlu meneroka dan mempelajari sendiri tenaga nuklear sebagaimana Korea dan Jepun. Malaysia menerima 300 hingga 400 watt satu meter persegi cahaya matahari..

Faktor pemanasan global

Panel Antara Kerajaan tentang Perubahan Cuaca (IPCC) ditubuhkan pada 1988 oleh Pertubuhan Meteorologi Sedunia serta Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Kegiatan terasnya adalah menyemak dan menilai maklumat saintifik, teknikal dan sosio-ekonomi yang terkini. Saintis alam sekitar telah ditempatkan dipelbagai lokasi strategik dan mengumpulkan laporan ilkim dan cuaca seluruh dunia secara sistermatik. Dapatan daripada kajian ini amat memeranjatkan terutama berhubung tentang faktor pemanasan global dan kesan jangka pendek dan panjang daripadanya.

* Laporan 1 (1990) dan Laporan 2 (1995) IPCC menunjukkan banyak ketidakpastian iklim dunia dan bersifat negatif . Pemanasan global ini akan menjejaskan manusia atau tamadunnya.
* Laporan ketiga (2001) berkisar kepada "Menangani Perubahan Iklim.
* Laporan Penilaian Keempat tentang (Perubahan Iklim 2007) .

Kajian mendapati 98 % punca pemanasan global ialah pelepasan karbon dioksida akibat pembakaran bahan bakar fosil yang telah dilakukan sejak abad ke-18. . Perubahan penggunaan tanah menyumbang 30 peratus pelepasan karbon dioksida. Kesan rumah hijau lebih hebat dan iklim dunia akan berubah secara mendadak, tanpa dapat dibendung lagi.

Pemanasan Global

Pemanasan global

Pemanasan global berkaitan dengan peningkatan suhu dunia. Suhu bumi telah meningkat dua darjah dan kadarnya berbeza mengikut benua dan kawasan tertentu. Kajian mendapati kawasan Artik lebih pantas menjadi panas berbanding kawasan lain. Perubahan iklim biasanya berlaku dalam tempoh 10,000 tahun tetapi kini perubahan iklim berubah dalam tempoh 100 tahun sahaja, jarak hanya 2 generasi sahaja.

Suhu bumi meningkat sejak tahun-tahun 90an. Kajian mendapati iklim panas melampau di Perancis, iklim lebih panas di rantau Siberia dan pencairan "permafrost" (lapisan tanah yang kekal beku di rantau paling sejuk) terutamanya di rantau Artik. Ahli sains meramalkan keseluruhan ais laut di Artik akan cair pada musim panas 2099. Litupan ais Greenland dan Antartika Barat akan mencair . Paras laut akan meningkat kira-kira 7 meter secara mendadak.